Sejak zaman berzaman lagi manusia menggunakan buah-buahan liar sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional. Pokok-pokok ini tumbuh liar di hutan, semak-samun, sekitar rumah, belukar, tepi sungai dan pinggir hutan. Kini ia jarang ditanam dan pokok-pokok tua pula sukar ditemui. Buku Kenali 114 Spesies Buah-Buahan Liar ini memaparkan secara ringkas tentang taburan, morfologi pokok, kegunaan dan khasiatnya serta dilengkapi dengan gambar-gambar buah, pokok dan bunga. Buah-buahan ini mempunyai pelbagai rasa — masam, manis, pahit, kelat dan masam manis ini memberi pengalaman bermakna dalam menikmati keenakan buah-buahan tersebut. Kehadiran buah-buahan tempatan dan luar negara yang senang diperoleh membuahkan buah-buahan liar semakin dilupakan. Semoga dengan penghasilan buku ini dapat memberikan sedikit pembelajaran dan pengenalan kepada khazanah hutan yang mempunyai khasiat dalam pemakanan dan perubatan tradisional, dan tidak dilupakan begitu sahaja oleh generasi kini dan akan datang.
Buku ini digarap oleh pelbagai lapisan penjawat awam yang berpengalaman di FRIM daripada Ketua Pengarah sehinggalah kepada Pegawai Penyelidik, Pembantu Penyelidik dan Pemandu. Masing-masing telah berkhidmat di FRIM melebihi 20 tahun. Di sepanjang perkhidmatan, mereka sudah terdedah dengan kepelbagaian tumbuhan semula jadi dan kehijauan hutan terutamanya di kampus FRIM. Penerbitan buku ini merupakan cetusan idea Dato’ Dr Abd. Latif Mohmod yang telah berkhidmat lebih 25 tahun, berpengalaman dalam mengenali pokok-pokok bukan sahaja di FRIM malah di luar FRIM. Beliau bersama-sama Puan Nik Zanariah Nik Mahmood, seorang Pegawai Penyelidik mengolah semula dan menyunting penulisan buku ini yang dihasilkan daripada gabungan fakta dan gambar-gambar milik Puan Zawiah Ngah (Pembantu penyelidik) dan Encik Othaman Hasin (Pemandu). Buku ini merupakan buku kedua tentang buah-buahan yang dihasilkan oleh mereka. Buku pertama, 99 Spesies Buah di FRIM yang diterbitkan pada 2012 telah memenangi Anugerah Buku Negara 2013 bagi Anugerah Industri Buku (Kategori Sains).
| Attribute name | Attribute value |
|---|
| Book Details | |
| Author | M Abd. Latif, NM Nik Zanariah, N Zawiah & H Othaman |
| Publication Date | 2014, reprinted 2026 |
| Language | Bahasa |
| Pages | 261, |
| Publication Code | FSP4 |