Kajian ini dilaksanakan bagi membantu pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) mendapatkan maklumat asas jumlah perniagaan yang beroperasi di Kampong Bharu. Ini termasuk premis-premis perniagaan/restoran serta gerai tepi jalan sama ada berlesen atau tidak berlesen. Laporan bancian ini akan dijadikan sebagai rujukan bagi perancangan pembangunan dan aktiviti perdagangan yang bersesuaian agar memberi impak positif kepada kawasan Kampong Bharu.
Kaedah kajian yang diguna pakai ialah bancian temu bual secara bersemuka menggunakan borang soal selidik. Analisis data melibatkan analisis deskriptif dan analisis pemetaan turut dilakukan bagi menggambarkan aktiviti perniagaan di kawasan Kampong Bharu.
Hasil bancian yang dijalankan mendapati sebanyak 556 premis perniagaan sedang aktif beroperasi di Kampong Bharu. Secara keseluruhannya, aktiviti perniagaan di Kampong Bharu tergolong dalam dua sektor utama iaitu sektor perkhidmatan dan pembuatan. Dapatan kajian menunjukkan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman adalah aktiviti perniagaan utama diikuti dengan aktiviti borong dan runcit. Sememangnya, Kampung Bharu sinonim dan terkenal sebagai lokasi pilihan untuk aktiviti “jalan-jalan cari makan” dan tumpuan peniaga kecil mendapatkan barang secara borong. Kawasan perniagaan paling menjadi tumpuan pula adalah Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Muda Musa dengan masing-masing melibatkan 144 dan 82 premis perniagaan di kawasan tersebut. Majoriti pemilik premis adalah warganegara 422, (76%) dan kebanyakan premis perniagaan berstatus sewaan iaitu sebanyak 346 (62%) premis. Hasil bancian turut menunjukkan 218 daripada 556 (39%) premis mempunyai lesen DBKL. Kajian ini juga berjaya mengenal pasti 11 daripada 20 peruncit produk herba berdaftar di bawah sistem HerbaXpress yang dibangunkan oleh FRIM. FRIM amat mengalu-alukan 9 lagi premis untuk berdaftar di dalam sistem ini.
Dapatan kajian ini bergantung sepenuhnya terhadap maklumat yang diberikan oleh responden. Pasukan penyelidik menghadapi kekangan bagi mengesahkan maklumat yang diterima di lapangan. Terdapat kemungkinan responden memberi maklumat yang tidak tepat terutamanya bagi soalan-soalan yang dirasakan sensitif kepada pemilik perniagaan seperti maklumat pemilikan lesen dan premis. Bagi tujuan penambahbaikan, kerjasama dengan agensi yang berautoritatif adalah dicadangkan di masa hadapan bagi membolehkan semakan terhadap butiran perniagaan dapat dijalankan sebagai pengesahan. Selain itu, penglibatan pihak berautoritatif berkemungkinan dapat membantu mengurangkan bilangan responden yang tidak memberikan kerjasama.
Attribute name | Attribute value |
---|
Book Details | |
Publication Date | 2021 |
Language | Malay |
Author | AR Rohana, M Noor Hazmira, Z Nur Fazreen, MF Nor Atiqah & AB Ariff Fahmi |
Publication Code | FR115 |
Pages | 33pp |